KUCHING: Detik bersejarah Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 (Ops Semut 1945) semasa Perang Dunia Kedua di Sarawak perlu dikenang oleh masyarakat khususnya generasi muda hari ini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, keterlibatan penduduk tempatan dan pasukan keselamatan dalam menentang penjajahan tentera Jepun ketika itu telah membuka lembaran di negeri ini.
“Inilah satu sejarah yang perlu kita ingati. Hasil daripada keterlibatan antara penduduk tempatan dan pasukan keselamatan membuka lembaran baharu, khususnya di kawasan Bario dan dalam komuniti Kelabit di Bario.
“Seperti yang disebut oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala (dalam ucapannya), sekolah telah dibuka dan ini memberikan landskap serta pendekatan yang baharu kepada kawasan Bario,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peringatan Ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi payung terjun ini bukan sahaja membuka lebaran baharu di kawasan Bario bahkan di seluruh Sarawak terutamanya selepas Perang Dunia Kedua.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan lain.
Terdahulu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata simulasi semula terjunan itu kini menjadi acara di peringkat Sarawak.
Katanya, ia telah menjadi acara tahunan di Bario sejak 2013, seiiring dengan pembinaan tugu peringatan untuk memperingati perjuangan Z Force dan pejuang tanah air Sarawak menentang penjajahan tentera Jepun.
Abang Johari turut menyaksikan pendaratan oleh empat penerjun dari Pasukan Khas Udara (PASKAU) iaitu Pegawai Waran Udara 1 Mohamad Shah Rizal Md Zahid yang membawa Jalur Gemilang, Penolong Ketua Group Seirra PASKAU Kapten Shahrulrizal Sabri yang membawa bendera Australia, Flight Sergeant Ahmad Riduan Nordin membawa Ibu Pertiwi dan Koperal Muhammad Fikri Azizi Faizul yang membawa bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pesawat membawa penerjun dari PASKAU, iaitu Pesawat CN235 yang dikendalikan oleh Leftenan Kolonel Ahmad Syazwan Mohamed, Kapten Fikri dan Kapten Syafik daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat penerbangan rendah di ruang udara Padang Merdeka, menghadirkan keterujaan pengunjung.
