KUCHING: Tiada rakyat Sarawak dilaporkan terjejas dalam bencana gempa bumi yang berlaku di Myanmar dan Thailand, baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak tidak menerima sebarang laporan dan data mengenai hal berkenaan.
Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak katanya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) sekiranya terdapat laporan yang melibatkan rakyat Sarawak.
“Tentu sekali kita akan terus berhubung dengan KLN kerana Malaysia telahpun menghantar Pasukan Bantuan dan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar.
“Kalau ada, Kedutaan Malaysia akan segera berhubung dengan kita dan kita akan terus bekerjasama dengan KLN untuk membawa mereka balik.
“Tetapi, setakat ini saya tidak menerima sebarang data (melibatkan rakyat Sarawak),” katanya semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Jelasnya, gempa bumi di Myanmar yang turut menjejaskan beberapa negara jiran termasuk Thailand tidak lain berpunca daripada perubahan iklim, memandangkan kedua-dua negara berkenaan terletak di luar lingkaran api Pasifik.
Bagi memastikan keselamatan di Sarawak terus terjamin, beliau memberitahu akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak saintis untuk mengkaji sama ada Sarawak terdedah kepada bencana ini ataupun tidak di masa hadapan.
“Disebabkan perkara seumpama inilah Sarawak mengubah dasar ke arah kelestarian alam sekitar untuk kita mengawal keadaan yang semakin terjejas hari ini.
Mengulas perkara lain, beliau berkata ibu pejabat MASWings yang kini masih beroperasi di Kota Kinabalu, Sabah akan dipindahkan ke Sarawak.
Katanya, dengan perancangan pemindahan ini, kakitangan semasa syarikat penerbangan itu akan diberikan pilihan hala tuju mereka seterusnya.
“Sekarang ini, ibu pejabat MASWings masih lagi di Kota Kinabalu dan kita akan pindahkan ibu pejabat ini ke Sarawak.
“Kita akan memberi pilihan kepada kakitangan semasa samada mereka mahu terus berkhidmat atau mereka ada pilihan yang lain.
“Saya jangkakan perkara ini dapat diselesaikan menjelang tahun hadapan,” ujar beliau.
