KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini hari ini.
Menyambut ketibaan beliau ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Solat sunat Aidilfitri itu dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi bersama lebih 5,000 umat Islam.
Usai solat, program diteruskan dengan Kutbah Raya bertajuk ‘Hakikat Kemenangan Aidilfitri’.
Usai menunaikan solat Aidilfitri, Tun Wan Junaidi mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Astana Negeri Sarawak bermula 10 pagi hingga 4 petang pada 1 Syawal.
Abang Johari kemudiannya mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Hari Raya pertama jam 10 pagi hingga 3 petang manakala pada Hari Raya kedua pada jam 10 pagi hingga 2 petang.
Turut hadir mengimarahkan lagi pagi Syawal itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
