Kerajaan GPS komited perkasa pembangunan infa untuk rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited memperkukuhkan rangkaian infrastruktur negeri bagi memastikan kesalinghubungan yang lebih baik antara bandar dan luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, melalui Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), beberapa projek jalan utama sedang giat dilaksanakan.

Katanya, antara projek penting yang sedang dibangunkan ialah Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Utama Kedua dengan kedua-dua projek ini menelan kos RM11 bilion, termasuk RM5.9 bilion untuk pembinaan 16 jambatan.

Beliau yang juga Menteri MIPD berkata, kesemua kos ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, menunjukkan keupayaan kewangan kerajaan negeri dalam melaksanakan pembangunan tanpa bergantung kepada dana Persekutuan.

Menurut beliau, Projek Jalan Pesisir Sarawak dijangka siap pada 2027, manakala Jalan Utama Kedua dijangka siap pada 2028.

“Dua jambatan baharu iaitu Jambatan Bintulu-Jepak di Bintulu dan Jambatan Sungai Rajang di Sarikei dibuka kepada orang ramai sempena Hari Raya ini.

“Inilah komitmen Kerajaan GPS untuk mengingkatkan kesalingan hubungan bandar dan luar bandar di Sarawak. Ia juga bukti kerjaan sentiasa memberi keutamaan demi kemudahan, demi keselesaan rakyat,” katanya.

Uggah berkata demikian dalam perutusan Hari Raya 2025 hari ini.

Justeruu, beliau menggesa rakyat Malaysia khususnya di Sarawak l memperkukuhkan persaudaraan, toleransi, perpaduan dan keharmonian antara rakyat yang berbilang kaum dan agama menjelang sambutan Aidilfitri kelak.

Ujarnya, kebersamaan dalam sambutan Hari Raya ini menjadi sumber kekuatan Malaysia untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran serta pembaharuan dengan perpaduan dalam kepelbagaian.