BINTULU: Upacara pelantikan ahli Majlis Kanak-Kanak Bintulu penggal 2025/2026 diadakan di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Wisma Bintulu, di sini, hari ini.
Majlis dianggotai seramai 21 ahli berumur antara 10 hingga 15 tahun yang dipilih berdasarkan latar belakang berbilang kaum, agama, ekonomi dan akademik.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, majlis tempatan di Bintulu bersama tujuh majlis tempatan lain di Sarawak telah menubuhkan Majlis Kanak-Kanak.
Katanya, majlis terbabit juga mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak memberi ruang kepada kanak-kanak untuk bersuara.
“Kita mesti menyediakan platform untuk mereka meluahkan pandangan, berkongsi pengalaman dan terlibat secara aktif dalam merangka dasar yang menyentuh kehidupan mereka,”katanya ketika berucap di upacara itu.
Beliau berkata, ini seiring matlamat Child-Friendly City Initiative di bawah UNICEF yang menekankan aspek hak asasi, kebajikan dan penyertaan kanak-kanak dalam pembangunan bandar dan komuniti.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming dan Pengurus Besar BDA, Datuk Muhammad Yakup Kari.
