Penduduk Daro perlu bersedia hadapi gelombang pembangunan pesat

DARO: Penduduk di sini digesa sentiasa bersedia dan berdaya saing menghadapi arus pembangunan yang sedang dan akan berlaku di kawasan ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, pelbagai projek pembangunan telah dan akan dilaksanakan di kawasan ini, yang bukan sahaja bakal mengubah landskap fizikal, tetapi juga membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sosial kepada penduduk.

Justeru tegasnya, kesiapsiagaan dan keterlibatan aktif masyarakat amat penting dalam merealisasikan potensi pembangunan yang sedang digerakkan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Peringkat Daerah Daro yang bertemakan “Raya Serumpun” di Dewan Terbuka Tapak Pesta Daro malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Pegawai Pendidikan Daerah Daro Mohd Yusri Azhar Abdullah, wakil KPD Matu Daro ASP Miki Mohan Singh Ramday serta Pemanca Lau Oi Phen dan Pemanca Bujang Razeli.

Pada majlis tersebut, Safiee turut menyampaikan sumbangan dana keseluruhan berjumlah RM183,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanah Besar Daro, Jawatankuasa Pengurusan Masjid/Surau serta NGO-NGO yang terlibat.

Tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 43 gerai terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, JKKK, NGO serta kelab dan persatuan setempat.

Gerai-gerai ini menampilkan aneka juadah tradisional Hari Raya dan dekorasi kreatif yang mencerminkan keunikan budaya setempat. — UKAS