Elak bina penempatan di kawasan berisiko bencana

PAKAN: Penduduk di luar bandar dinasihat supaya tidak membina rumah persendirian dan rumah panjang di kawasan berisiko tinggi bencana alam seperti cerun bukit, tanah rendah dan tepi sungai.

Menurut Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, langkah itu bukan sahaja sebagai persediaan awal, malah mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda.

“Sesuatu bencana memang tidak dijangka, tetapi dengan mengelakkan kawasan berisiko, kehidupan harian akan lebih mudah dan selamat,” katanya di Majlis Penghargaan Misi Menghantar Bantuan Makanan bagi DUN Pakan di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Bencana Bahagian Sarikei sentiasa bersiap siaga bersama agensi berkaitan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Tambahnya, kekurangan kemudahan di pedalaman sering menjadi cabaran dalam misi bantuan dan menyelamat.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada agensi kerajaan, swasta, sukarelawan serta orang persendirian yang banyak membantu semasa bencana di beberapa tempat di DUN Pakan dan Meluan yang lalu.