SIMANGGANG: Peranan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) penting bagi memastikan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti di Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sehubungan itu meminta ahli KRT supaya terus memainkan peranan masing-masing di kampung dan rumah panjang di negeri ini.
“Ini agar masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama ini tidak berpecah belah dan tidak berpuak-puak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Muafakat Aidilfitri KRT Bahagian Sri Aman 2025 di Dewan Suarah Sri Aman semalam.
Mohamad Shafizan berkata, ahli KRT juga mempunyai peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam usaha membentuk masyarakat kampung dan rumah panjang yang bersatu-padu, aman dan harmoni.
“Ahli KRT yang telah terpilih ini seharusnya merasa bangga dengan tugas yang telah diamanahkan,” tambahnya.