DEBAK: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mempercepatkan proses permohonan perolehan perabot di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban di sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, proses permohonan kelulusan tertangguh lebih setahun.
Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, permohonan itu masih belum diluluskan hingga kini.
“Jadi, saya amat mengharapkan agar KPM mengambil tindakan sewajar berkaitan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di SK Datuk Bandar Debak di sini, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata ini menyebabkan sekolah terbabit gagal beroperasi sehingga kini walaupun projek pembinaan bangunan gantian sekolah tersebut telah siap sepenuhnya.
Untuk rekod, projek pembinaan bangunan gantian di SK Sebemban siap awal 2023 dengan kos berjumlah RM10.5 juta.
