KUCHING: Kaum Melayu perlu melengkapkan diri dan anak-anak dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi membolehkan mereka mampu bersaing dengan kaum-kaum lain dalam pembangunan Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pendidikan merupakan senjata utama dalam memperkasakan daya saing, khususnya dalam kalangan anak-anak Melayu agar tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan.
“Dunia sudah berubah dan untuk bersaing, kita mesti berani menukar minda dan melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.
“Sebab itu, kita dalam kerajaan menekankan pentingnya pendidikan. Kita mestilah melengkapkan diri untuk bersaing dengan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Samarindok Aidil Fitri 1446/2025 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini malam ini.
Hadir memeriahkan majlis ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur pendidikan di kawasan-kawasan majoriti penduduk Melayu dan Bumiputera, termasuk akses kepada pendidikan tinggi secara percuma di universiti tempatan.
Tegasnya, keupayaan anak-anak Melayu untuk bersaing bukan bergantung kepada latar belakang, tetapi kepada peluang dan kesediaan mereka untuk berusaha serta memanfaatkan sistem pendidikan yang disediakan.
“Kita buka peluang ini kepada semua anak Sarawak, selagi mereka ada kad pengenalan ‘K’. Anak-anak Melayu tidak boleh gentar.
“Mereka mesti yakin bahawa mereka mampu bersaing dan bekerjasama dengan kaum lain dalam keadaan yang sama dari segi kewangan dan pengetahuan,” jelasnya lagi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Barisan kabinet Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Barisan Kabinet Timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Pengerusi AKYBMS, Dato Sri Naroden Majais, Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datu Dr Sanib Said serta dif kenamaan yang lain. -UKAS
GAMBAR: FB Sarawakku
