Naik taraf Loji Rawatan Air Salim-Sibu dahului jadual – Julaihi

SIBU: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim-Sibu di sini bernilai RM291 juta kini mencapai kemajuan sebanyak 17.96 peratus.

Ini mendahului jadual asal sebanyak 6.45 peratus sejak dimulakan Mei tahun lalu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata projek dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu akan menggandakan kapasiti loji dari 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD apabila siap.

“Kita menjangka dapat disiapkan seperti dirancang dan mampu membekalkan air bersih kepada 350,000 penduduk di kawasan Sibu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek di Muka Sauk, Lembaga Air Sibu (LAS), Jalan Stabau, di sini, hari ini.

Julaihi berkata, projek juga akan menyumbang margin simpanan air sebanyak 30 peratus untuk bandar Sibu dan kawasan sekitarnya.