Jambatan Batang Rajang bakal dirasmi 17 Mei ini

KUCHING: Jambatan Batang Rajang yang dinanti-nanti penduduk di sekitar kawasan Rajang akhirnya menjadi kenyataan apabila akan dirasmikan pada 17 Mei depan.

Sehubungan itu, satu mesyuarat penyelarasan diadakan hari ini, bagi memastikan kelancaran majlis pembukaan rasmi Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi, di sini, hari ini.

Perasmian jambatan berkenaan bakal dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelaburan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh.

Mesyuarat ini bertujuan menyelaras segala persiapan dari segi logistik, keselamatan, protokol dan atur cara majlis agar ia berjalan lancar, katanya dalam satu kenyataan.

Turut dibincangkan ialah penglibatan komuniti setempat serta peranan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan penyertaan dan sokongan padu terhadap majlis ini.

Hadir sama, Residen Mukah, Datu Kueh Leh Poh; Timbalan Residen Sarikei, Baijuri Bidin; Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah; Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah dan Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli.

GAMBAR: SAHARUDIN ABU SEMAN