BETONG: Projek menyelenggara dan menaik taraf jalan ladang sepanjang jajaran Jalan Paya Bakong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas kini giat dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, projek sepanjang 5.199 kilometer (km) bernilai RM12 juta itu dibahagikan kepada dua fasa menerusi peruntukan Program Projek Rakyat dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Projek fasa pertama dengan kos sebanyak RM6 juta telah bermula pada 21 April lalu dan ia akan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan iaitu pada April tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat berhubung projek tersebut di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, di sini, hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, pembinaan jambatan konkrit sepanjang 35 meter (m) melibatkan kos sebanyak RM6 juta juga akan dimasukkan dalam fasa kedua projek terbabit.
Turut hadir, Jurutera JKR Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong, Morris Nayup.
