Perdana Menteri dijangka hadiri Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2025 Jun depan

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 pada 22 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis tersebut merupakan acara kemuncak dalam sambutan yang turut akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.

Menurut Uggah, mesyuarat itu bertujuan menyelaras dan membincangkan persediaan bagi penganjuran sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak yang bakal berlangsung tahun ini.

Masyarakat Orang Ulu diberi penghormatan sebagai tuan rumah sambutan kali ini, dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dilantik sebagai pengerusi sambutan.

Antara acara utama yang telah dirancang adalah Bazaar Gawai Dayak pada 15 hingga 25 Mei 2025 di MJC Batu Kawa, Karnival Gawai Tradisi pada 13 dan 14 Jun 2025 di Bangunan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di Miri serta Perarakan Gawai Dayak pada 21 Jun 2025 di tebingan sungai, Kuching.

Sebagai tambahan, majlis pelancaran buku Meja Kopi bertemakan budaya dan warisan masyarakat Dayak juga akan diadakan sempena sambutan tersebut.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan ahli jawatankuasa yang lain.