SERIAN: Fiesta Agro Serian 2025 yang julung kali akan diadakan di Bandar Mutiara Tebedu dijangka menarik lebih 4,000 pengunjung termasuk dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, fiesta itu bertujuan mempamerkan hasil peladang, penternak dan pengusaha kolam ikan, memperkenal teknologi pertanian digital dan mendedahkan program pembangunan pertanian kepada peladang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom akan merasmikan fiesta itu di Bandar Mutiara Tebedu, katanya pada sidang media di sini hari ini.
Program itu juga, katanya, akan dijadikan platform oleh Jabatan Pertanian untuk sesi libat urus dengan pemegang taruh dan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Beliau berkata, fiesta itu dijangka dijadikan acara tahunan dalam kalender perayaan rasmi Bahagian Serian bagi menarik penyertaan penduduk dari Tebedu, Serian, Siburan dan penduduk di sempadan Indonesia.
