Projek pembangunan ubah landskap Limbang

LIMBANG: Jalan raya, projek Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC), pemanjangan landasan lapangan terbang dan projek pembangunan pejabat Majlis Daerah Limbang (MDL) antara projek pembangunan yang giat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun di sini.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, tiga lagi projek mega sedang dalam pelaksanaan ialah Lebuh Raya Trans Borneo, Jalan Penghubung Sarawak Sabah (SSLR) dan Lebuh Raya Pesisir Utara.

Semua projek pembangunan itu meliputi kawasan dari selatan Sarawak hingga ke Bahagian Limbang di utara Sarawak, katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Kedayan Limbang (PKL) di Dewan Suarah Limbang malam tadi.

Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, projek pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan itu berjaya mengubah landskap pembangunan di daerah Limbang dan seluruh Sarawak.

Beliau menegaskan, PKL yang ditubuh pada 2007, bakal mempunyai bangunan pejabatnya sendiri yang dibina mengikut konsep moden dengan kos keseluruhan RM25 juta dan dijangka siap pada awal 2027.

Hadir sama Residen Limbang Unos Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Pengerusi PKL yang juga Pengerusi MDL Kaunselor Sufian Mohat.