KUCHING: Pengusaha makanan dan penduduk di Jepun sunggup membayar lebih mahal untuk lada Sarawak daripada lada dihasilkan oleh negara lain.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi berkata, penduduk Jepun mengakui lada dari Sarawak bermutu tinggi dengan aroma yang sukar ditandingi.
Malah, lada Sarawak juga terkenal di seluruh dunia kerana bermutu dan bearoma tinggi, katanya pada majlis melancarkan produk baharu SaraSpice yang berasaskan lada di sini.
Produk baharu itu ialah pembungkusan baharu produk premium SaraSpice 200 gram (gm) lada putih dan lada hitam Sarawak dalam bentuk biji dan serbuk, perasa lada bawang putih baharu, lada putih berkrim premium dan 60gm serbuk lada hitam.
Perlancaran produk terbaharu itu menandakan pencapaian SaraSpice dalam memperkenalkan lada premium dan bermutu tinggi hasil dari Sarawak ke peringkat global, katanya.
Beliau yang juga Pengerusi SaraSpice Sdn Bhd (SSB) menegaskan, menjelang akhir tahun ini, SSB dijangka menghasilkan lebih banyak produk berasaskan lada di bawah jenama SaraSpice.
SSB, tambahnya, akan terus bekerjasama dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) dalam membangunkan industri lada di negeri ini secara mampan dan berkolaborasi dengan pekebun lada di bawah bimbingan MPB.
Menurut beliau, untuk tahun kewangan berkahir 2024, SaraSpice mencatat jualan pulangan RM40.9 juta iaitu meningkat 17.3 peratus berbanding 2023.
Kejayaan itu, tambahnya, membuktikan kerjasama erat antara SSB dan MPB dalam meningkatkan mutu lada Sarawak dan taraf hidup pekebun lada di seluruh negara.
Hadir sama Ahli Parlimen Baram yang juga Pengerusi MPB, Datuk Anyi Ngau, Ketua Pengarah MPB, Vincent Sawat dan Pengurus Besar SSB, Fu Siang Lee.
