Marshal terlatih bantu lancarkan kejohanan perlumbaan, 35 peserta tamat kursus

KUCHING: Seramai 35 peserta dari seluruh Sarawak berjaya menamatkan Kursus Asas Marshal Perlumbaan Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung selama dua hari di Litar Sementara Sarawak Sports Corporation (SSC), Petra Jaya.

Kursus anjuran bersama Persatuan Sukan Permotoran Negeri Sarawak (SMA), Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS) itu bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan yang bertauliah dalam bidang keselamatan perlumbaan.

Presiden SMA, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, SMA komited untuk melahirkan marshal terlatih bagi menyokong pembangunan industri permotoran Sarawak yang sedang berkembang pesat.

“Marshal bukan sahaja memainkan peranan penting dari segi keselamatan tetapi juga dalam memastikan kelancaran sesuatu kejohanan perlumbaan.

“Peserta kursus didedahkan dengan pelbagai modul asas termasuk penggunaan sistem bendera, komunikasi kecemasan, serta simulasi situasi perlumbaan sebenar,” katanya.

Mereka yang lulus akan menerima Lesen Marshal daripada MAM dan Sijil Pengiktirafan dari JBS manakala peserta yang tidak berjaya pula akan menerima sijil kehadiran dan berpeluang mencuba semula tahun hadapan.

Dalam pada itu, katanya beliau turut menyambut baik pengumuman pembinaan litar perlumbaan tetap di Gedong oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dijangka memberi nafas baharu kepada arena permotoran negeri ini.