Setiausaha Politik Premier Sarawak buat laporan polis

KUCHING: Sekumpulan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak membuat laporan polis atas satu hantaran di media sosial berunsur penghinaan terhadap Premier Sarawak di Balai Polis Satok, Jalan Nagor, di sini, hari ini.

Abdul Samad Gany yang mengetuai kumpulan itu berkata, laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook atas nama “Mike Rain”.

“Hantaranya mengandungi kenyataan-kenyataan yang menghina serta memperlekehkan Premier Sarawak dan hantaran ini dapat diakses oleh orang awam,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Beliau percaya kenyataan terbabit lebih kepada menimbulkan rasa kebencian, penghinaan serta menjatuhkan maruah seorang pemimpin negeri dan bersangkut paut ahli keluarga pemimpin itu.

Katanya, kenyataan itu berpotensi menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam khususnya di Sarawak.

“Kita berharap atas laporan yang kami buat pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat,” tambahnya.

Menurutnya, ini mengikut undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan perundangan yang sesuai.