DEBAK: Seramai 24,101 penerima bantuan kebajikan di Sarawak akan menerima sumbangan Sejambak Kasih Gawai Dayak tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, sumbangan itu sebanyak RM100 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
Katanya, Bahagian Sri Aman merekodkan seramai 4,359 penerima sumbangan itu dan tertinggi tahun ini.
“Ini diikuti Bahagian Kuching dengan seramai 2,896 penerima dan Bahagian Kapit (2,878) orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2025 Bahagian Betong di Rumah Panjang Gara Tindin, Blassau Debak, di sini, hari ini.
Mohammad Razi mendedahkan, Bahagian Sibu merekodkan 2,871 penerima diikuti Betong (2,376), Serian (2,176), Sarikei (1,673), Bintulu (1,362), Miri (1,134), Samarahan (993), Mukah (819) dan Limbang (564).
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abdul Shamat Kasim, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim dan Temenggung Piee Alwi.
