MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus menjalinkan kolaborasi dengan sektor swasta bagi meneruskan inisiatif memelihara kebajikan rakyat khususnya bantuan kewangan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Rosey Yunus berkata, selain bantuan tunai, hamper makanan juga merupakan bentuk sokongan moral bagi menghidupkan semangat perayaan dalam kalangan penerima.
“Kerajaan komited memastikan tiada yang tersisih daripada menikmati kegembiraan musim perayaan.
“Inisiatif seperti Sejambak Kasih ini menjadi bukti usaha menyeluruh bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti,” katanya semasa merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Dayak Miri 2025 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu,
berkata, seramai 1,134 penerima bantuan bulanan dari bahagian ini dikenal pasti akan menyambut Hari Gawai tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, 150 hadir pada, manakala 100 lagi akan menerima bantuan secara fizikal dalam majlis berasingan di Sepupok Niah pada 16 Mei nanti.
Bagi baki 884 penerima, wang bantuan akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing.
“Secara keseluruhan, RM2.41 juta diperuntukkan kepada lebih 24,000 penerima bantuan kebajikan di seluruh Sarawak sempena Hari Gawai Dayak tahun ini.
“Di Bahagian Miri sahaja, bantuan bulanan yang disalurkan JKM mencecah lebih RM8.6 juta kepada 4,513 penerima bagi tempoh Januari hingga April 2025,” ujarnya.
