KUCHING: Kesungguhan Sarawak membangunkan infrastruktur bukan setakat mahu memajukan rakyat tetapi untuk kepentingan masa depan rantau ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), ekonomi hidrogen dan ladang solar terapung adalah sebahagian daripada infrastruktur yang dimaksudkan.
“Ia sejajar dengan matlamat pembangunan negara dan mahu memperluaskan ke wilayah ASEAN,” katanya dalam ucapan aluannya pada perasmian forum Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merasmikan forum tersebut.
Menurut Alexander, forum berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan pertumbuhan inklusif, pembangunan seimbang dan mengiktiraf pertumbuhan Sarawak dan Sabah dalam menggerakkan inovasi, infrastruktur dan kelestarian.
Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN 2025, katanya, adalah tepat untuk memulakan rancangan pembangunan di Borneo iaitu sebuah wilayah yang kaya dengan sumber dan berpandangan jauh.
Forum itu, tambahnya, bukan sahaja mengumpul pihak terbabit dalam industri pembinaan tetapi satu langkah strategik bertukar-tukar idea, pasaran dan hala tujuan.
