Lawas berpotensi jadi hab keju susu kerbau terbesar

LAWAS: Daerah Lawas berpotensi menjadi hab pengeluaran keju berasaskan susu kerbau terbesar di Malaysia apabila Stesen Kerbau Maragang di sini, siap nanti.

Ia dinyatakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sambil percaya projek tersebut boleh membantu dalam aspek keterjaminan makanan negeri.

Menurutnya, projek pembangunan stesen ini yang kini memasuki fasa akhir, merupakan pemacu utama transformasi sektor tenusu di wilayah utara Sarawak.

Dengan siapnya infrastruktur seperti stesen feedlot, kilang keju, kuarters pekerja dan gudang simpanan, Lawas ujar beliau bersedia untuk memulakan operasi berskala penuh dalam masa terdekat.

“Projek ini bukan sahaja menyokong agenda sekuriti makanan negeri, malah mempunyai potensi menjadikan Lawas sebagai pusat pengeluaran keju susu kerbau utama di negara ini, bahkan mungkin di peringkat rantau,” katanya semasa lawatan kerja ke stesen itu, semalam.

Didorong faktor kesesuaian iklim, sokongan Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, serta kerjasama erat, projek ini katanya memberi kelebihan strategik kepada Lawas untuk muncul sebagai pengeluar utama produk tenusu ‘niche’ yang bernilai tinggi di pasaran.

Katanya, salah satu komponen kritikal yang sedang disiapkan ialah penyambungan bekalan elektrik ke kilang keju yang dijangka selesai menjelang Jun ini.