KUCHING: Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) 2025 anjuran Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTMCS) membuka ruang kepada pelajar lepasan SPM, STPM dan setaraf.
Ia untuk mengenali secara lebih dekat laluan pendidikan yang ditawarkan institusi tersebut dari peringkat asas hingga ke peringkat kedoktoran.
Ekspo yang berlangsung di Dewan Jubli, Kampus Samarahan dari 16 hingga 18 Mei ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada pengunjung mengenai pelbagai program pengajian UiTMCS, termasuk peluang kemasukan melalui laluan khas bagi pelajar kurang berkemampuan akademik.
Selain kampus induk, misi akademik ini turut menjelajah ke tiga lokasi lain di Sarawak iaitu Bintang Megamall Miri, Innovation Centre (Sarikei) dan pusat beli- belah Boulevard (Bintulu).
Ini bagi memastikan akses kepada maklumat pendidikan disampaikan secara meluas kepada masyarakat, termasuk dari luar bandar.
UiTMCS menerusi kenyataan media memaklumkan pihaknya kini menawarkan pelbagai program merangkumi lima program pra diploma, 25 program diploma dan 13 program ijazah sarjana muda untuk pengajian sepenuh masa.
Selain itu, terdapat juga penawaran program Pendidikan Jarak Jauh (e-PJJ), serta pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
Antara fokus utama ESKU 2025 termasuk mempromosikan Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT), iaitu laluan khas untuk pelajar lepasan SPM yang tidak memenuhi syarat asas ke program diploma. PPT, yang dahulunya dikenali sebagai Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).
Melalui pendekatan ini, UiTMCS bukan sahaja menyediakan pelbagai bidang pengajian, malah memperkasakan peluang kedua kepada golongan pelajar yang tercicir atau kurang bernasib baik agar mereka tidak terpinggir dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program dan syarat kemasukan boleh menghubungi talian 082-678200 sambungan 8130 atau mengikuti laman sosial rasmi UiTM Cawangan Sarawak dan Rektor UiTM Sarawak.
