KUCHING: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Salad, SK Sg. Silas dan SK Sg. Setulan di Jepak yang memiliki infrastruktur daif, terdedah dengan banjir dan hakisan perlu dibina baharu.
ADUN GPS-PBB Jepak, Iskandar Turkee berkata, SK Jepak, SK Kuala Tatau dan SK Setiam pula yang turut memiliki infrastruktur yang daif perlu dinaik taraf.
“Kemudahan dan persekitran yang baik di sekolah dapat menyediakan suasana pembelajaran kondusif serta menyokong pencapaian akademik murid,” katanya semasa membahas usul ucapan terima kasih kepada Yang di- Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Di samping itu, Iskandar turut memohon agar pembinaan rumah kos murah dan sederhana di DUN Jepak diberi keutamaan dan disegerakan berdasarkan belanjawan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2025.
Beliau berkata, demi masa depan Bintulu yang lebih besar, pembangunan perlu lebih teratur termasuk perumahan dan harga rumah pula jangan terlalu mahal.
Menurut beliau, sebarang kelewatan dalam melaksanakan projek perumahan untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah akan memberi impak negatif seperti peningkatan penempatan setinggan.
“Sudah tiba masanya Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berkolaborasi dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Lembaga Lindungan dan Penyatuan Tanah (LCDA), Tabung Baitulmal atau mana-mana syarikat yang sanggup membina rumah kos sederhana dan kos rendah demi kesejahteraan rakyat, khasnya di Bintulu,” tegas beliau.
Beliau turut memohon agar Anjung Usahawan dibina di DUN Jepak di laluan jalan Jambatan Jepak-Bintulu selari dengan Pejabat Pentadbiran Kerajaan yang baru untuk usahawan.
