KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan untuk menambah peruntukan bagi pembelian peranti digital seperti iPad dan komputer riba kepada pelajar.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia susulan permintaan untuk mendapatkan peranti digital lebih meningkat berbanding bantuan pembelian buku.
“Kita telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa anak-anak kita pada masa kini lebih cenderung untuk memuat turun buku ke dalam iPad untuk membaca bahan rujukan terus dari peranti tersebut, manakala permohonan untuk buku fizikal pula amat berkurangan.
“Oleh itu, saya memberitahu kepada dengan Datuk Annuar Rapaee (Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak) supaya menambah peruntukan untuk iPad, tetapi terpaksalah mengurangkan bajet bagi baucar buku.
“Insya-Allah, perkara ini akan dipertimbangkan dalam bajet yang akan datang,” katanya berucap dalam Majlis Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Untuk info, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah memperkenalkan inisiatif ‘Sarawak Free Laptop Assistance’ dan ‘Sarawak Book Voucher Assistance’ bagi membantu pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.
Langkah ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma pada masa akan datang.
Sementara itu, Abang Johari menggalakkan penulis dan penyelidik untuk menghasilkan karya berasaskan sejarah tempatan Sarawak dari perspektif masyarakat sendiri.
“Salah satu topik yang boleh diketengahkan ialah kisah Bukit Sadok dan peranan Rentap. Sekiranya boleh, kajian wajar dilakukan dari sudut perspektif kita sendiri, berdasarkan sejarah kita.
“Ini kerana terdapat hubung kait antara kisah tersebut dengan isu lanun dan perlu diteliti sama ada benar-benar wujud kaitan antara Rentap dan lanun.
“Oleh itu, satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan, dan mungkin judul yang sesuai untuk kajian tersebut ialah “Bukit Sadok Rentap” maka dengan itu, kita dapat mendokumentasikan sejarah secara lebih terperinci,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kajian tentang kawasan Lidah Tanah dan Siniawan, yang menurut beliau pernah menjadi ‘seat of power’ sebelum era pemerintahan Rajah James Brooke.
