KUCHING: Gas Aggregator memainkan peranan penting bagi merealisasikan objektif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya meluaskan bekalan Natural Gas di peringkat domestik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N28 Lingga, Dayang Noorazah berkata, sebagai contoh sebelum Petros ditubuhkan, pasaran bekalan bagi LPG gas seberat 12 kilogram (kg) dan 14kg dipelopori oleh Petronas dan Shell di seluruh Sarawak.
“Seiring dengan perancangan Petros di bawah program Petros Sarawak Gas Roadmap (SGR) 2030, akan bertindak sebagai ‘gamechanger’ untuk menyalurkan saluran paip cecair gas asli (LNG) ke Kuching.
“Menurut Pengerusi Petros, Petros membangunkan dan mengatur pelan hala tuju 10 tahun untuk menerajui peralihan Sarawak melalui gas dan tenaga baharu serta meningkatkan cadangan negeri melalui pembangunan mampan,” katanya dalam Agihan Rang Undang-Undang Pindaan Gas (2023), hari ini.
Beliau berharap, dengan berpaksikan aspirasi rakyat diharap Kerajaan Sarawak dapat memperluaskan bekalan LPG Gas terutamanya di kawasan pesisir dan pedalaman yang lebih strategik supaya caj tambahan dari pembekal bagi penghantaran bekalan LPG Gas tidak terlalu tinggi.
“Saya bagi contoh, dengan siapnya kelak jambatan Batang Lupar 1 yang menghubungkan Sebuyau Triso, alangkah baiknya Kerajaan Sarawak dapat membina satu Petros Petrol Station yang bukan hanya membekalkan minyak petrol tapi menyediakan bekalan LPG Gas di kawasan daerah kecil Maludam.
“Cadangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat di daerah kecil Maludam, tetapi juga kepada semua masyarakat dari Triso, Maludam, Semarang, Beladin dan Sepinang yang dianggarkan lebih 20,000 penduduk.
“Walaupun ini hanya contoh, namun sekiranya Kerajaan Sarawak dapatmempertimbangkan cadangan ini, maka aspirasi rakyat di kawasan tersebut dapat ditunaikan,” ujarnya.
