Perayaan Irau Aco Lun Bawang antara aktiviti kalendar pelancongan

LAWAS: Perayaan Irau Aco Lun Bawang yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak merupakan pengiktirafan daripada Kerajaan Sarawak.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, ini terutamanya kepada masyarakat kaum Lun Bawang di utara Sarawak.

“Saya mahu pengiktirafan ini disambut penuh tanggungjawab dengan memastikan seluruh masyarakat Lun Bawang bersatupadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis penangguhan Irau Aco Lun Bawang atau Pesta Lun Bawang kali ke-38 di Stadium Tertutup Lawas malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan Baru Bian, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Jerry Siran Lagan.

Di majlis itu, Henry mengumumkan peruntukan berjumlah RM100, 000 dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak kepada Persatuan Lun Bawang Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada persatuan terbabit.

Sementara, bagi setiap cawangan Persatuan Lun Bawang di Kuching, Miri, Bintulu, Limbang dan Kuala Lumpur pula akan diperuntukkan RM5,000 untuk menjalankan aktiviti.