Buah tangan Ahli Parlimen Igan untuk PIBG SK Kebuaw

IGAN: Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kebuaw di sini menerima peruntukan khas sebanyak RM50,000.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengumumkan peruntukan khas itu bagi membeli peralatan sekolah.

“Ini demi mempertingkatkan kemudahan pendidikan dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif untuk pelajar luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Hari Gawai di Rumah Mission, Sungai Ilas, di sini, hari ini.

Di majlis itu, Ahmad Johnie turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM29,000 kepada lima rumah panjang bagi tujuan pembangunan komuniti.

Selain itu, projek pembinaan pembentung ke jalan Rumah Panjang TR Mission ak Sanggau sudah siap seterusnya dirasmikan hari tersebut.

“Projek ini dijangka memberikan kemudahan akses yang lebih selamat dan lancar kepada penduduk, terutamanya semasa musim hujan,” katanya.

Sementara itu, Sambutan Hari Gawai di Rumah Mission, Sungai Ilas, Igan terus menyemarakkan semangat perpaduan dan warisan budaya komuniti Iban di kawasan tersebut.

Majlis diserikan dengan persembahan tarian tradisional, jamuan Hari Gawai dan ramah mesra yang mengukuhkan hubungan pemimpin dan rakyat.