Enam masjid, dua pertubuhan DUN Kabong terima peruntukan laksana ibadah korban

KABONG: Peruntukan berjumlah RM204,000 disumbang kepada enam masjid dan dua pertubuhan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, peruntukan itu untuk membeli lembu seterusnya melakukan ibadah korban di kawasan masing-masing.

Enam masjid itu ialah Masjid Assabirin Kabong, Masjid Tok Amal Kampung Nyabor, Masjid Lebai Mat Kampung Empelam, Masjid Ar-Rahman Kampung Sessang, Masjid Ar Rahim Kampung Gerigat dan Masjid Assasul Islam Kampung Alit, manakala dua lagi masing-masingnya kepada Persatuan Anak Kabong dan Persatuan Pesara Kabong (PEKA).

“Pada tahun ini, kita menyalurkan peruntukan kepada setiap masjid-masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, dan terpulang kepada jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan untuk menguruskannya.

“Tidak seperti tahun-tahun sebelum, kita sendiri membeli lembu dan diagihkan kepada masjid-masjid serta surau di seluruh daerah ini,” katanya semasa ibadah korban di Masjid Ar-Rahman Kampung Sessang, Masjid Lebai Mat Kampung Emplam dan Masjid Ar-Rahim, Kampung Gerigat, hari ini.