MIRI: Sebanyak RM100 juta diperuntuk bagi membaik pulih jalan rosak di pedalaman Baram, manakala kerja menaik taraf 27 jambatan akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek rintis telah dimulakan 24 Jun lalu bagi menilai keadaan jalan bekas pembalakan, namun pendekatan sebelum ini kurang berkesan.
“Satu cadangan baharu akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada 19 Jun ini,” katanya semasa merasmikan Karnival Gawai Tradisi Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Ibu Pejabat FORUM, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga meluluskan projek jalan baharu sepanjang 122 kilometer (km) dari Miri ke Long Lama yang merangkumi sembilan jambatan utama dan dijangka bermula suku ketiga 2025.
Selain itu, sebanyak RM750 juta disalurkan menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bagi Telang Usan dan Mulu untuk mempercepat pembangunan infrastruktur asas.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau.
