TYT hadiri Majlis Kesyukuran Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong

LIMBANG: Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak diadakan di Masjid Jannatul Firdaus, di sini, malam tadi.

Majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Asfia Awang Nasar dan isteri, Dato Fatimah Mohd Iskandar; Menteri Pembangunan Wanita, Pembangunan Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Ketibaan TYT dan isteri pada jam 6.25 petang disambut Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang; Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan menteri-menteri kabinet yang lain.

Acara bermula dengan Solat Fardhu Maghrib berjemaah diikuti bacaan Yaasin dan doa kesyukuran dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Seterusnya, alunan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Limbang diikuti Solat Fardhu Isyak berjemaah.