LIMBANG: Projek Jambatan Kedua Limbang yang sedang rancak dibina dijangka siap pada hujung tahun ini.
Sementara, jambatan tersebut dijadual mula diguna pada April 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan pembinaan jambatan berkonsepkan reka bentuk ‘cable stay’ ini memberangsangkan berdasarkan taklimat yang diterimanya.
“Kalau siap Disember, ia boleh digunakan sekitar April 2026,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak pembinaan jambatan itu hari ini.
Menurut beliau, jambatan yang merentasi Sungai Limbang itu akan menghubungkan bandar Limbang dengan sempadan Brunei Darussalam, sekali gus membuka laluan baharu untuk aktiviti perdagangan, pelancongan dan ekonomi serantau.
Apabila dibuka kelak, ia akan memendekkan perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke Limbang dengan hanya 30 minit sahaja.
Tambah Abang Johari, kerajaan negeri turut merangka pelan pembangunan menyeluruh untuk menjadikan Limbang sebagai pusat pelancongan dan ekonomi utama di utara Sarawak.
Beliau turut mengumumkan rancangan membina hotel tiga bintang dan pejabat kerajaan berdekatan Muzium Pembangunan Limbang, penyambungan laluan pesisir ke Lawas melalui lebuh raya dua lorong dua hala.
