KUCHING: Negara anggota ASEAN berkongsi perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan projek sambung tara merentas sempadan di bawah inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) yang menjadi antara agenda utama semasa Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga (SOME) ASEAN kali ke-43 anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
PETRA menerusi siaran medianya hari ini memberitahu, SOME yang berlangsung dari 16 Jun hingga 18 Jun ini di Kuching,menghimpunkan pegawai-pegawai kanan tenaga dari semua negara anggota ASEAN, dengan kehadiran wakil dari Timor-Leste sebagai pemerhati.
SOME berperanan sebagai platform utama bagi membincangkan dasar-dasar tenaga dan memperkukuh hala tuju strategik kerjasama tenaga serantau.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Mad Zaidi Mohd Karli, selaku Pengerusi ASEAN SOME 2025.
Antara agenda utama lain yang dibincangkan adalah menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa II 2021–2025 serta membincangkan hala tuju dan pembangunan dokumen APAEC 2026–2030 yang akan datang.
Selain itu, perbincangan mesyuarat juga menumpukan pada perbincangan tentang kemajuan perdagangan tenaga pelbagai hala menerusi Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-MalaysiaSingapura (LTMS-PIP).
Topik berkaitan dasar-dasar peralihan tenaga turut diberi perhatian, termasuk peningkatan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, potensi tenaga nuklear serta penyelarasan dasar tenaga serantau.
Mesyuarat ini juga memberi ruang kepada negara anggota untuk mengambil maklum akan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN. Selain itu, persiapan awal bagi penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang dijadualkan akan berlangsung pada Oktober 2025 turut menjadi sebahagian daripada perbincangan utama pada kali ini.
Penganjuran Mesyuarat SOME ASEAN ini melambangkan komitmen berterusan negara-negara ASEAN dalam merealisasikan matlamat pembangunan tenaga yang mampan, inklusif dan berdaya tahan di rantau ini.
Dengan kerjasama erat yang terjalin antara semua pihak, ASEAN berada pada landasan kukuh untuk membina masa depan tenaga yang lestari dan menyumbang ke arah kesejahteraan bersama.
