Sarawak peneraju tenaga hijau

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr. Hazland Abang Hipni menghadiri Persidangan Tenaga Asia 2025 di sini bagi mengukuhkan komitmen Sarawak dalam membangunkan tenaga mampan dan rendah karbon.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin, penggubal dasar dan pakar industri tenaga global untuk membincangkan peralihan kepada tenaga yang lebih mampan dan bersih pada masa hadapan di Asia.

Persidangan itu turut membincangkan hala tuju strategik dalam tenaga bersih termasuk tenaga hidro, hidrogen dan inisiatif perangkap karbon sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga dalam jangka masa panjang.

Pada persidangan itu, Dr. Hazland turut berbincang dengan pemegang taruh utama dan pelabur yang berpotensi untuk menerokai peluang kerjasama dalam teknologi hijau, pelaburan dalam infrastruktur tenaga diperbaharui dan pembangunan modal insan.

Kehadiran Dr. Hazland pada persidangan itu menandakan komitmen berterusan Sarawak untuk meletakkan negeri ini sebagai peneraju kelestarian tenaga, sambil menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai peralihan tenaga secara saksama dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan persidangan berkenaan pada satu majlis makan makan yang turut dihadiri Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo dan Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Hussien.