KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan menganjurkan edisi kedua Persidangan Media Sarawak 2025 (SMEC25) di Hotel Sheraton, di sini, pada 2 hingga 3 Julai depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran SMEC25 dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak ini bertema Kecerdasan Buatan (AI): Membentuk Masa Depan Media dan Kewartawanan.
“SMEC25 akan menghimpunkan kira-kira 600 gabungan pemikir dan pengamal komunikasi berpengaruh dari dalam dan luar negara yang membawa kepelbagaian perspektif dalam isu kewartawanan, teknologi dan transformasi digital,” katanya pada sidang media SMEC25, di sini, hari ini.
Abdullah Saidol berkata, barisan penceramah antarabangsa SMEC25 pula merangkumi Shelly Bryant (Singapura/USA), Naib Presiden Kanan Komunikasi Korporat Indosat Ooredoo Hutchison dan Ketua Komunikasi Belia PERHUMAS Indonesia, Steve Saerang dan Ketua Pegawai Eksekutif AI Visionary Society dari Singapura, Soh Wan Wei.
Manakala, penceramah dari dalam negara pula ialah Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, Dr. Jun-E Tan dari Khazanah Research Institute, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC), Profesor Dr. Patrick.
Beliau berkata, Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak dan SMEC25 akan diadakan di Hotel Riverside Majestic di sini, pada 2 Julai depan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dijangka akan menghadiri majlis makan malam itu.
“Untuk majlis makan malam ini, kita akan menyampaikan Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak kepada 10 penerima bagi kategori Editor, Wartawan, Pembaca Berita, Pengacara Radio (DJ), jurugambar dan tokoh khas,” katanya.
