KASUMeS acara tahunan HAWANA

KUCHING: Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) akan dijadikan sebagai acara tahunan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA), sebagai platform memperkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan warga media di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ini bukan sahaja menjadi wadah riadah dan gaya hidup sihat, malah turut mempererat hubungan profesional dan peribadi antara pengamal media serta kerajaan negeri.

“Kita akan teruskan program sebegini setiap tahun sempena HAWANA mengikut zon iaitu Miri, Sibu dan Kuching dan buat sementara waktu hanya beberapa sukan yang kita pilih termasuk pickleball, badminton, futsal dan sebagainya,” katanya semasa Majlis Perasmian KASUMeS 2025 di Pickleball MUSC Sarawak, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pelbagai pengisian baharu sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam edisi akan datang termasuk aktiviti luar dan lasak.

“Kita warga media, tak kira dari agensi mana pun, selalunya hanya bertemu dalam majlis rasmi atau sidang media. Jadi, program seperti KASUMeS ini beri ruang untuk kita berkumpul secara santai.

“Mungkin selepas ini kita boleh anjurkan aktiviti seperti mendaki gunung, masuk hutan, melawat tempat-tempat menarik yang sukar dicapai – contohnya Bakun atau Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia. Ada yang minat aktiviti sebegini, insya-Allah kita akan rancang,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar setiap agensi media menubuhkan pasukan rasmi masing-masing bagi menyertai acara sukan, selain mencadangkan penubuhan jawatankuasa kecil yang terdiri daripada wakil media untuk membantu UKAS menyelaras penganjuran pada masa hadapan.

“Saya harap warga media terus bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan setiap inisiatif dan usaha kerajaan negeri sampai kepada rakyat.

“Penting untuk kita sampaikan dasar serta agenda yang diterajui oleh Premier Sarawak dengan jelas dan difahami oleh semua lapisan masyarakat,” tegas beliau.

KASUMeS 2025 berjaya menghimpunkan pengamal media dari pelbagai agensi cetak, penyiaran dan digital di seluruh Sarawak dalam suasana santai, sihat dan harmoni sekali gus memperkukuh nilai kekitaan dalam komuniti media negeri ini. – UKAS