300 unit Reef Ball bakal ditanam di perairan Lawas

LAWAS: Projek Reef Ball Sarawak Fasa Dua akan menanam sejumlah 300 unit tukun Reef Ball di perairan Lawas.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, serentak itu, lokasi baharu memancing disediakan bagi penduduk Lawas terutamanya dari Sundar hingga ke Awat-Awat.

“Sejumlah 300 unit ditanam di dalam enam kluster untuk Fish Aggregating Device (FAD) atau peranti pengumpul ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak pada majlis pelancaran Sarawak Reef Ball Fasa 2 anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Kampung Awat-awat, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, Projek Reef Ball Sarawak Fasa Satu bermula sejak 2018.

Katanya, nam FAD diwujudkan dari Bukit Sari sehingga ke Punang di perairan Lawas pada 2019 serta menjadikan keseluruhan ada 12 lokasi memancing di perairan itu.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak komited memastikan sumber alam semula jadi negeri ini dilindungi dan dimanfaatkan secara lestari untuk generasi akan datang serta memperkasakan pelaksanaan ekonomi biru.

Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.