TYT, isteri hadiri Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun

BINTULU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1446H dan Awal Tahun 1447H yang diadakan di Masjid Assyakirin, di sini.

Ketibaan mereka pada jam 6.15 petang tadi disambut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee dan ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming.

Majlis dimulai dengan bacaan doa akhir tahun 1446H yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

TYT Sarawak seterusnya menunaikan Solat Maghrib berjemaah bersama penduduk di kawasan Bintulu sebelum bersama-sama mengikuti bacaan doa awal tahun 1447H.

Turut diadakan bacaan Yassin dan Tahlil sempena Maal Hijrah dan kepada isteri Premier Sarawak, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dipimpin oleh Dato Mustapha Kamal.

Ia diteruskan dengan tazkirah Maal Hijrah bertajuk Hijrah Ummah Maju Makmur pula disampaikan oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.

Menyusul kemudian Solat Isyak berjemaah, diikuti dengan majlis makan malam. — UKAS