Program percepat pengukuran tanah NCR diperkenal sejak 2010

KUCHING: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu telah mempercepat pengukuran seluas 1.2 juta hektar tanah itu di Sarawak sejak Oktober 2010 sehingga 31 Mei 2025.

Menurut kenyataan media Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Kerajaan Sarawak memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang melibatkan dua peringkat pengukuran bagi mempercepatkan lagi pengukuran tanah NCR sejak 2010.

Peringkat pertama ialah pengukuran secara perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

Manakala, peringkat kedua ialah pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Sejak Oktober 2010 sehingga 31 Mei 2025, seluas 1,203,003 hektar atau 2,972,620 ekar tanah NCR telah diukur secara perimeter di bawah peringkat pertama program tersebut,” menurut kenyataan itu.

Daripada jumlah tersebut, seluas 935,760 hektar atau 2,312,263 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Melalui peringkat kedua pula, lebih kurang 120,608 hektar atau 298,022 ekar tanah NCR telah diukur secara lot individu melibatkan sebanyak 101,271 lot serta sebanyak 32,530 surat hakmilik tanah telahpun dikeluarkan di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Penyukatan tanah NCR ini hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan dari penuntut tanah NCR dan permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk disukat.

Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari JTS Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa.