NACO minat bangunkan lapangan terbang antarabangsa

KUCHING: Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner yang mengetuai rombongan wakil industri penerbangan Belanda mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, di sini semalam.

Pada pertemuan yang berlangsung di pejabat menteri berkenaan, kedua-dua belah pihak mengadakan perbincangan mengenai pembangunan sektor penerbangan di Sarawak yang fokus kepada lapangan terbang antarabangsa yang dicadangkan di Kuching.

Lee mengalu-alukan kunjungan delegasi dari Belanda itu dan menghargai penglibatan serta minat Belanda dalam pembangunan infrastruktur terutama industri penerbangan.

Delegasi dari Belanda turut memperkenalkan Perunding Lapangan Terbang Belanda (NACO), syarikat perunding penerbangan terkenal di peringkat global yang dilantik sebagai perunding utama bagi kajian kemungkinan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Kajian itu dilaksanakan dengan rakan kongsi perunding tempatan, Jurutera Jasa (Sarawak) Sdn, Bhd dan dijangka siap dalam masa sembilan bulan.