KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilantik sebagai Pengerusi Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak.
Watikah pelantikan tersebut disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang di Pejabat Timbalan Premier, Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Majlis ini disaksikan Pengarah KEMAS Sarawak, Anisah Saidin dan turut hadir Timbalan Pengarah Kewangan Dan Pembangunan, Fatimah Rosli , Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Komuniti Dan Pembangunan Kemahiran, Josipah Sabas dan Unit Latihan Dan Perancangan Strategik, Hasli Drahman.
Pelantikan Awang Tengah merupakan satu penghormatan besar terhadap komitmen dan penglibatan aktif beliau dalam menyokong pelaksanaan program pembangunan masyarakat luar bandar yang digerakkan KEMAS seluruh Sarawak.
Kepimpinan beliau dijangka mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh peranan Jawatankuasa Komuniti KEMAS di peringkat negeri, parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lokaliti.
