KUCHING: Cadangan Premier Sarawak untuk menghantar anak-anak negeri ini melanjutkan pengajian ketenteraan ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom disifatkan sebagai langkah bijak dan strategik dalam membentuk barisan kepimpinan masa depan negeri.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, peluang tersebut bukan sahaja mendedahkan anak muda Sarawak kepada pendidikan dan strategi ketenteraan bertaraf dunia, malah turut membentuk jati diri serta kepimpinan berteraskan integriti, akauntabiliti dan disiplin tinggi.
“Pendekatan itu sangat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkasa generasi muda serta menyediakan pemimpin masa depan berlandaskan prinsip keadilan, merit dan keterangkuman tanpa mengira latar belakang agama atau kaum,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Nanta turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menghidupkan semula pasukan Sarawak Rangers sebagai unit keselamatan dalaman khas yang berperanan melindungi kepentingan negeri secara langsung.
Katanya, penubuhan semula Sarawak Rangers bukan bertujuan menyaingi Angkatan Tentera Malaysia, sebaliknya sebagai pelengkap kepada struktur keselamatan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks.
Beliau menegaskan, cadangan tersebut perlu diteliti dari sudut perundangan dan fungsinya agar sejajar dengan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada, namun sudah tiba masanya Sarawak mempertimbangkan keperluan keselamatan dalaman yang lebih tersusun dan berfokus.
