Sarawak sedia terajui perubahan iklim

KUCHING: Sarawak bersedia menerajui wilayah Asia Tenggara dalam menangani isu perubahan iklim, peralihan tenaga dan pematuhan Matlamat Kelestarian Alam Sekitar dari segi undang-undang.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, Sarawak bukan setakat menyahut trend kelestarian alam sekitar tetapi juga membantu mencari jalan penyelesaian dalam pembangunan secara bertanggungjawab di dunia.

“Sarawak tidak mendapati pertumbuhan ekonomi dan kelestarian sebagai penghalang tetapi turut membangunkan dasar ekosistem untuk membuktinya,” katanya berucap pada Forum ‘Arbitrating Sustainability in Southeast Asia’, yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia sempena Minggu ADR KL 2025 di Kuala Lumpur hari ini.

Dr. Hazland berkata, undang-undang tegas dan pembangunan infrastruktur mematuhi peraturan adalah daya penarik kepada pelaburan hijau dan mengekalkan tadbir urus baik di rantau ini.

“Pematuhan adalah kunci untuk menarik pelaburan hijau dan atas sebab itu Sarawak menyokong inovasi undang-undang bukan hanya dari segi perundangan tetapi penyelesaian pertikaian,” katanya.