KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) melaksanakan 244 program dan aktiviti sejak November 2024 hingga Jun 2025.
Presidennya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut merangkumi pelbagai skop termasuk kebajikan sosial, sukan dan rekreasi, kebudayaan, seminar, bengkel, taklimat, hal ehwal wanita, latihan kemahiran, pendidikan, serta pembangunan usahawan dan ekonomi.
“Dengan pelaksanaan aktiviti ini menunjukkan komitmen tinggi dan penglibatan aktif semua cawangan dan biro di seluruh negeri Sarawak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Negeri Sarawak ke-59, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Karim menjangkakan aktiviti tersebut akan meningkat kepada lebih 500 program menjelang penghujung tahun ini dengan pelbagai inisiatif sedang dirancang.
Antaranya ‘Youth Glamping’ di Layar Betong pada Ogos, Kejohanan Futsal Piala Presiden SABERKAS pada November, Program Literasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Program Tunas Madani di Lundu serta program pertanian dan sekuriti makanan.
Menyentuh kedudukan kewangan, SABERKAS ujarnya kekal stabil dengan pengurusan aset yang cekap dan pendapatan bulanan tetap.
Beliau turut membayangkan SABERKAS akan memiliki ibu pejabat sendiri lengkap dengan dewan serbaguna yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti belia dan komuniti pada masa akan datang.
GAMBAR: UKAS
