Kebajikan rakyat diutamakan, 45,800 penerima terima bantuan

LUNDU: Usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat Sarawak diterjemahkan melalui penyaluran bantuan berjumlah lebih RM130.2 juta.

Ia membabitkan kira-kira 45,800 penerima di seluruh negeri sehingga Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, dana tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan RM209.7 juta yang diagihkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) untuk tahun ini.

“Bantuan tidak terhad kepada bayaran bulanan, malah turut melibatkan bantuan segera sekali bayar bagi kes-kes kecemasan.

“Sebanyak 48 permohonan Tabung Bantuan Segera diluluskan setakat ini membabitkan perbelanjaan RM13,455,” katanya semasa Taklimat Perkhidmatan Agensi-Agensi Utama di bawah KPWKM yang berlangsung di Dewan SALCRA Bajo Lundu, hari ini.

Beliau menjelaskan, sehingga pertengahan tahun ini, seramai 56,491 Orang Kelainan Upaya (OKU) berdaftar di Sarawak dan seramai 2,015 pelatih mengikuti program pemulihan komuniti di pelbagai pusat pemulihan di negeri ini.

Bagi menyantuni warga emas, kementerian menubuhkan 20 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh Sarawak dengan keahlian melebihi 6,400 orang, kata Nancy.