LUNDU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kuching menyediakan pampasan sebanyak RM50 juta kepada pemilik tanah terlibat projek penanaman padi di Tanjung Purun di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, ini kerana Kerajaan Sarawak merancang membangunkan kawasan tanaman padi berskala besar di Simunjan, Gedong , Sri Aman , Spaoh, Limbang dan Lawas serta Tanjung Purun.
“Ini untuk memperkasakan pengeluaran padi bersepadu di Sarawak dan menjamin keselamatan makanan jangka masa panjang dan mencapai hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Dialog Berkenaan Tanah Pertanian Kawasan Tanjung Purun Lundu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu di sini, hari ini.
Hadir sama, Penguasa Tanah Dan Survei Bahagian Kuching , Awang Nazri Awang Saperi, Pemanca Jumahdi Sabian dan Benjamin Gersit Jais, Penghulu Jamer Katai , Maxwell Ujis dan Awang Sulong Awang Drahman.
