PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia meluluskan 48 projek tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil.
Pembangunan bagi pelaksanaan 48 projek TBB itu dengan kapasiti sebanyak 181.25MW di bawah mekanisma Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FIT).
Pembangunan 48 projek TBB itu selaras dengan hasrat negara untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dalam pembekalan elektrik negara, kata PETRA dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Projek TBB yang diluluskan itu dijangka menjana nilai pelaburan berjumlah RM1.87 bilion dalam sektor TBB dan akan mula membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal tahun 2028.
Kerajaan telah mengumumkan penawaran dan pembukaan permohonan kelulusan tarif galakan berjumlah 190MW bagi tiga sumber TBB iaitu biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil pada 15 Januari 2025 hingga 19 Februari 2025.
Penawaran itu, katanya, bertujuan mempelawa permohonan daripada pemaju TBB yang layak untuk menyertai proses bidaan secara e-bidding.
Sebanyak 59 permohonan telah diterima dan 48 permohonan yang memenuhi kriteria teknikal dan kewangan yang ditetapkan telah diluluskan.
Kelulusan itu merangkumi 20 projek dengan jumlah kuota 30.93MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas, lapan projek dengan jumlah kuota 53.50MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biojisim dan 20 projek dengan jumlah kuota 96.82MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber hidrokuasa kecil.
Pelaksanaan projek TBB baharu di bawah mekanisme Tarif Galakan ini sebahagian daripada komitmen PETRA dalam meningkatkan kapasiti campuran TBB dalam pembekalan elekrik negara kepada 70% menjelang tahun 2050, kata kenyataan itu.
Usaha peningkatan kapasiti sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil ini juga akan memperkukuhkan lagi daya harap pembekalan elektrik negara dengan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB selain membekalkan bekalan elektrik yang bersifat konsisten.
