Tuduhan perebutan kuasa seolah cuba gugat perpaduan Parti PBB

GEDONG: Isu yang tular di media sosial berkaitan tuduhan perebutan kuasa dalam kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah tidak berasas sama sekali.

Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), merangkap Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata tindakan tersebut seolah-olah cuba mengeruhkan air yang tenang dalam Parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Parti PBB.

“Ini adalah tuduhan yang tidak berasas, malah kelihatan seperti cubaan untuk menggugat keharmonian dan perpaduan antara pemimpin dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media sosial yang tular beberapa hari lalu selepas merasmikan Pertandingan Futsal Terbuka Pesta Gedong 2025 di sini, hari ini.

Naroden berkata, sehingga kini tidak pernah wujud sebarang perbincangan atau kenyataan langsung daripada mana-mana pimpinan negeri sama ada di peringkat ADUN mahupun Premier sendiri mengenai desakan peralihan kuasa seperti didakwa.

“Saya melihat kedua-dua pemimpin ini sebagai individu yang kuat, berwibawa dan mendapat sokongan padu daripada barisan kabinet.

“‘Team Abang Jo’ berfungsi dengan sangat baik dan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sarawak malah turut mencerminkan imej positif Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.