Cadangan usia pemohon lesen sampan khas diturun ke 20 tahun

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir mahu syarat umur pemohon lesen sampan khas diturunkan kepada 20 tahun.

Katanya, syarat yang ditetapkan untuk pemohon lesen sampan khas ialah usia 40 hingga 60 tahun pada masa ini.

“Justeru, saya ingin memohon, agar syarat usia 40 tahun itu, diturunkan kepada usia 20 tahun dan ke atas. Ini akan membolehkan lepasan sekolah yang tidak menyambung pelajaran boleh berkecimpung dalam industri perikanan.

“Dapatan yang diterima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong, bahawa kebanyakan nelayan yang berusia 30 tahun dan ke atas sukar untuk mendapatkan lesen sampan khas walaupun mereka sepatutnya layak diberi lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dekat sini.

Chee Kadir menjelaskan, beliau telah menulis surat kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak, dan sehingga kini masih belum mendapat respon daripada pihak berkenaan.

Beliau juga mahu agensi penguatkuasa seperti Jabatan Perikanan Laut (JPL) mengambil tindakan drastik terhadap nelayan pukat tunda serta penceroboh yang tidak bertimbang rasa.

“nelayan di Kabong merupakan nelayan pesisir pantai, punca pendapatan mereka semakin berkurangan akibat aktiviti golongan yang tidak menghirau peraturan JPL yang mengharamkan pukat tunda di kawasan pesisir pantai,” katanya.